Relaxing Music ( Instrumental Piano )

Thursday 16 August 2012

SISA-SISA HIDUP


Sepanjang Ramadhan tahun ini, aku berpuasa diperantauan. Bukan sebab belajar di universiti, tapi sebagai pelajar praktikal di sebuah kawasan pembinaan nun jauh di utara tanah air. Tempat dimana aku mula-mula berubah, mengenal erti hidup yang sebenar. Di sini aku jumpa pelbagai jenis ragam manusia. Ingin ku kongsikan kisah seorang nenek. Acap kali aku bersembang dengannya pasti air mata ku bertakung, tapi aku sekat air mata tersebut. Aku tak mahu menangis didepannya. Jika aku yang mendengar kisah hidupnya merasa sedih, pasti dia yang mengharungi detik-detik sisa hidup di dunia beribu kali ganti jauh lebih sedih dari diriku.

Aku luangkan masa hampir seminggu berbuka dengannya bersama-sama keluarga rumah sewa ku. Meskipun hanya sekitar antara masuk waktu maghrib sehingga hampir pukul 8 malam, aku harapkan sedikit sebanyak aku mampu mengembirakan hatinya. Seorang nenek tua lingkungan umur 84 tahun. Duduk seorang diri di depan rumah sewa ku. Hari ini aku berbuka bersamanya. Cuma ada aku, nenek dan sahabat praktikal ku. Nenek sempat mmberikan kami doa dan ayat-ayat suci al-quran perlindung diri dari syaitan. Nenek kata,”akhir zaman, banyak betul orang dengki dekat orang lain”. Rinduku kepada arwah embah wedok (nenek) ku terubat bilamana melihat nenek ini. Meskipun sudah 5 tahun embah ku meninggal dunia, tapi aku tetap merasakan dia ada disisiku. Dulu aku selalu luahkan segala isi hati ku pada arwah embah. Kadang-kadang embah lebih tahu tentang diriku melebihi emakku sendiri. Aku sayang sangat dengan embah wedok, meskipun segelintir cucu yang lain tidak suka melayan kerenah orang tua. Pengalaman yang tak dapat aku lupakan, sepanjang lebih 8 tahun arwah embah masuk keluar hospital, hanya aku yang menjaganya. Sehingga saat-saat terakhirnya, embah merajuk denganku, masakkan tidak embah masuk wad semasa hari raya. Masam muka nya sewaktu aku melawat. Anak sulung, aku ada tanggungjawab yang besar di rumah. Berbagai ragam embah wedokku sehinggakan nak bancuh air kopi setengah cawan pun ada level gula, kopi dan air paras mana. Kalau tak jadi, reject, tak nak minum. Itulah perangai manusia yang meningkat umur, dia akan kembali ke zaman kanak-kanak. Sabarlah menjaga ibubapa, pasti pahala Allah berganda untuk kita.

Nenek depan rumah sewa ku dari segi kesihatan lebih elok berbanding arwah nenekku. Tapi itu dari segi pandangan ku yang baru mengenalnya hampir sebulan. Dikesempatan waktu yang ada, aku dan sahabatku cuba bertanya sebanyak mungkin perihal dirinya. Alhamdulillah, mungkin kerana hanya bertiga, nenek luahkan sedikit sebanyak tentang dirinya. “Nenek terpaksa pergi pondok atau rumah orang tua, nenek tak nak menyusahkan orang.”

Aku cuba bertanya, “ kenapa nenek tak nak duduk rumah anak-anak nenek?”

“Nenek tak nak menyusahkan mereka. Mereka ada keluarga mereka. Rumah cukup-cukup untuk keluarga mereka. Ada menantu yang suka kat nenek dan ada juga yang tak suka kat nenek. Dah nasib nenek. Sekarang waktu nenek. Lepas ni, waktu anak-anak nenek bila mereka dah tua.”

Sedihnya hati mendengar luahan seorang ibu. Perpatah ada mengatakan seorang ibu mampu melahirkan, mendidik dan membesarkan 10 orang anak, tapi 10 orang anak tak semestinya menjaga seorang ibu. Setiap tahun, persiapan raya nenek, hanya nenek seorang diri yang masa. Dengan kudrat yang masih ada, neneklah yang buat ketupat, rending, lauk, nasi dan sebagainya. Anak-anak akan datang malam raya, dan kebanyakkan hanya datang hari raya pertama, dan sebelah petangnya pulang ke rumah masing-masing. Nenek kata, “ kalau nenek tak masak, cucu nenek datang nak jamu makanan apa. Nanti nenek jugak yang lapar.”

            Wahai diriku jua sahabat-sahabatku yang lain, yang masih belum berumahtangga, atau akan berumah tangga atau yang telah mendirikan masjid. Ingatlah sayang, syurga kita disisi suami kita. Dan syurga suami kita, dibawah telapak kaki ibunya. Bantulah suami kita menjadi anak yang soleh. Lelaki yang menghormati dan mentaati kedua orang tua. Dan nasihat buat kaum adam. Sentiasalah bertoleransi dengan isterimu. Meskipun engkau berkuasa terhadap isterimu, tapi berilah peluang dan kesempatan waktu yang ada untuk serikandimu bersama dan berbakti untuk ibubapa nya. Tanpa ibubapa mertuamu, pasti tidak lahir dan terdidik jodohmu, teman di dunia jua di syurgamu…